Tanggal 14 Mac 2012, seorang lagi permata di hati kami sekeluarga telah pergi meninggalkan dunia yang fana ini buat selama-lamanya.
Khabar berkenaan kesihatan Mok yang dikatakan agak merosot telah diberitahu oleh abang ipar ku pada tengah hari 13 Mac. Suamiku pada waktu itu ingin pulang segera tetapi masalah tiket telah menghalang niatnya. Dia bertolak balik ke KBR pada pagi rabu dan tiba di rumahnya beberapa minit setelah Mok pergi.
Mok telah dijemput Ilahi setelah hanya dua hari diserang demam. Begitulah ketentuanNya. Mok adalah ibu mertuaku. Mok seorang yang tidak banyak karenah dan seorang yang pemurah. Hidup masa muda Mok serba kekurangan. Dia menyara hidup keluarga dengan membuat keropok dan kerja kampung. Namun begitu satu perkara yang aku kagum dengan Mok adalah sifatnya yang suka menderma duitnya terutama kepada kanak-kanak. Mok pernah berkata kepada ku bahawa duit yang dia dapat adalah untuk dikongsi, supaya manfaatnya boleh dirasai ramai. Itulah dia Mok. Walau pun dia tidak punya banyak harta tetapi hatinya kaya.
Semoga roh Mok dicucuri rahmat Allah dan ditempatkan dalam kalangan hamba2Nya yang soleh.
al-Fatihah buat Mok.