Thursday, December 30, 2010

Sakinah n Shukri again....

Penggal persekolahan akan bermula minggu depan. Nampaknya Sakinah n Shukri akan kembali ke sekolah semula. Rutin harian akan menjadi lebih sibuk lebih-lebih lagi apabila Sakinah berada di sesi petang sementara Shukri pula di sesi pagi. Peninglah kepala Papa menguruskan mereka berdua.

Cuti kali ini agak kurang seronok buat mereka berdua. Pertama kerana aku sendiri tidak dapat mengambil cuti panjang seperti selalu. Cuti tahunan ku cuma tinggal 2 hari sahaja menjelang Disember. Itu pun telah di simpan untuk kami sekeluarga pulang ke Kuantan menjengok Bak yang tidak sihat. Maka tinggallah Sakinah dan Shukri di rumah, menghabiskan masa mereka berperang sama sendiri 'in between' main game dan melihat facebook :)

Tapi aku beruntung...Sakinah dan Shukri amat bertanggungjawab melaksanakan kerja rumah. Kalau Sakinah cuci pinggan, Shukri akan basuh dan jemur pakaian. Sakinah akan pastikan air minuman sentiasa ada. Shukri pula akan vakum rumahku yang sentiasa berhabuk (setelah kena sergah dengan Sakinah, hi,hi,hi....)

Begitulah gelagat mereka berdua...penghibur hatiku di kala duka :)))

Sunday, December 12, 2010

Kejutan teknologi

Suatu masa dulu ibu bapa menjadi cukup risau jika anak mereka berpindah ke bandar atau ke luar negara sama ada untuk menyambung pelajaran atau bekerja. Pada waktu itu mereka bimbang kot-kot anak mereka akan melupakan mereka dek kerana terpengaruh dengan gaya hidup baru yang serba seronok dan mencabar. Bak kata orang mendapat kejutan budaya. Tatkala itu kampung halaman sering dilupakan. Malah ada anak-anak yang tidak mahu pulang ke kampung kerana kampung 'gelap' dan tidak 'cerah' macam Kuala Lumpur. Mereka yang ke luar negara pula tidak kurang yang terpengaruh dengan gaya hidup ala barat yang serba bebas. Almaklum ibu-bapa berada nun jauh di Malaysia. Pada waktu itu juga ramai pelajar yang gagal dalam meneruskan pengajian mereka kerana dihanyutkan dan terkejut dengan budaya baru. Begitulah keadaannya kejutan budaya.

Sekarang ini, dengan kepesatan teknologi, manusia tidak lagi perlu pergi ke mana-mana untuk mendapat kejutan. Kebanyakan mereka sekarang mendapat kejutan teknologi dalam rumah mereka masing-masing....terutamanya teknologi internet. Dengan adanya komputer riba yang boleh dibeli pada harga yang berpatutan serta kemudahan membeli 'smart phone' seperti blackberry atau iPhone dengan biayaan yang menarik dari penyedia perkhidmatan, maka 'connectivity' 24jam telah menjadi satu realiti. Kini aku dapati anak-anak, ibu dan juga bapa sering menghadap komputer melayari laman web, mendengar muzik, bermain game, melihat video di Youtube, meng'update status' di facebook, menulis 'blog entry' (macam aku sekarang) dan pelbagai aktiviti dalam talian yang lain. Tanpa disedari setiap dari kita membina tembok disekeliling kita. Kita leka dengan dunia siber yang tidak 'real'. Kita seronok apabila status FB kita dibaca, di'like' dan dikomen oleh rakan kita. Kita terbawa-bawa dengan pujian yang diberikan oleh mereka ( yang besar kemungkinan kita tidak pernah jumpa dalam alam nyata) yang melawat blog kita. Kita amat teruja apabila blog kita mendapat hits yang tinggi. Kita seronok dan bangga.

Semua itu tidak salah jika kita tahu adab dan batas pergaulan siber. Teknologi sememangnya tidak salah. Yang silap adalah manusia yang sering gagal menilai setiap gerak langkah mereka. Dek kealpaan kita, maka syaitan akan menyelinap masuk dan menggoda kita untuk terus leka di alam penuh khayalan dan tidak bermakna. Kita menjadi seorang yang tidak keruan apabila dalam satu hari kita tidak boleh menjenguk laman kegemaran kita.Kita menjadi penagih siber. Orang di sekeliling dilupakan dan dianggap tidak penting...malah lebih teruk lagi jika dianggap sebagai penyibuk. Kalau dulu sering menelefon ke kampung bertanya khabar ayah ibu...sekarang ini dah jarang...kerana sibuk melayan kawan dan keluarga siber. Kalau dulu sering melawat saudara yang sakit...sekarang ini sekadar bertanya khabar melalui FB. Justeru oleh kerana kebodohan kita maka terputuslah tali silaturrahim dan tergurislah hati-hati mereka yang disayangi. Maka berjayalah syaitan dalam godaannya. Justeru, ingatlah wahai rakan siberku, teknologi dicipta oleh manusia supaya kita boleh menjalankan kehidupan kita dengan cekap demi untuk mengejar redha Allah. Jika kita ada niat selain dari itu, dibimbangi ia akan hanya menyesatkan kita. Wallahualam.