Menurut Kamus Dewan, edisi ke-4, penyelidik
ialah orang yg menyelidik atau mempelajari
sesuatu dengan sungguh-sungguh. Selidik pula bermaksud memeriksa atau menyiasat
sesuatu yang belum terang. Justeru sebagai manusia kita tidak boleh lari dari kerja menyelidik. Kalau kita seorang guru pastinya kita akan menyelidik cara paling berkesan untuk mengajar murid. Kalau kita tukang masak kita sering menyelidik cara untuk menyediakan makanan yang berzat. Maka tidak keterlaluan jika dikata bahawa semua
manusia adalah penyelidik dalam kapasiti atau kudrat masing-masing. Jika Allah telah kurniakan kita dengan otak yang lebih bergeliga dari orang lain sudah tentu perkara yang kita selidik menjadi lebih khusus dan mungkin lebih canggih. Umpamanya seorang CEO syarikat akan menyelidik perkara-perkara besar tentang untung rugi syarikat, inovasi produk dan pelbagai lagi untuk menjamin keuntungan atau kelangusngan syarikat. Itu tanggungjawab yang datang sekaligus dengan kepandaian otaknya. Sudah pasti seorang tukang sapu tidak mampu dan mungkin tidak perlu fikirkan hal yang sama dengan CEO syarikat. Walau pun begitu seorang tukang sapu juga menyelidik tentang cara untuk menjalankan kerjanya dengan lebih cekap, mungkin.
Justeru aku melihat kerja menyelidik ini adalah suatu yang 'central' dalam kehidupan manusia. Selagi manusia hidup pasti ada perkara yang ingin diketahui dan diterokai. Itulah sebenarnya tanggungjawab kita sebagai khalifah dan hamba Allah.
Tidak salah rasanya jika aku kata bahawa jika kita boleh semai dan pupuk sifat untuk menyelidik dalam setiap orang maka insyaAllah kejayaan boleh dicapai di dunia dan akhirat.
Yang menariknya dalam takrifan Kamus Dewan tersebut adalah perkataan 'bersungguh-sungguh'. Maka yang membezakan antara seorang penyelidik (manusia) dengan
yang lain cuma tahap kesungguhan masing-masing dalam melakukan penyelidikan. Kesungguhan inilah yang perlu diterap dalam setiap diri manusia. Kita mesti sentiasa muhasabah diri dan bertanya kepada diri sendiri...telah 'bersungguh-sungguhkah aku'?