Wednesday, September 19, 2012

Hidup untuk mati

Sejak akhir-akhir ini aku sering dikejutkan dengan berita kematian. Sudah semestinya berita pemergian seseorang yang kita kenali akan menimbulkan rasa kehilangan dan juga kesedihan. Orang kata kita mesti sentiasa ingat akan mati. Sesungguhnya mengingati mati memberikan perspektif yang berbeza kepada kehidupan. Malah ada seorang penulis pernah menulis yang maksudnya lebih kurang begini "jika kita belum mengenali mati maka kita sebenarnya belum mengalami kehidupan". Tapi ada juga orang yang melihat atau menganggap kematian sebagai sesuatu yang 'morbid' atau sesuatu yang 'tidak perlu fikir'. Semoga kita tidak berada dalam golongan tersebut. Islam menyarankan kita supaya selalu ingat akan mati. Malah kalau berita kematian yang kita terima sedikit pun tidak berbekas di hati kita...maka dibimbangi hati kita telah menjadi keras dan mungkin tidak lagi boleh menerima hidayah. Na'uzubillah.

Apabila kita mati memang tiada gunanya rumah mewah tersegam indah...kecuali ianya telah digunakan untuk memberi perlindungan kepada rakan taulan semasa musafir dan dimakmurkan dengan majlis-majlis ilmu dan agama

Apabila kita mati tiada gunanya set Noritake yang tersusun rapi dalam almari antik....kecuali ia digunakan untuk menjamu kaum kerabat serta sahabat handai bagi mengeratkan silaturrahim.


Apabila kita mati tiada gunanya kereta mewah menjalar....kecuali dengan kereta itulah kita telah pergi ke masjid, menghadiri perjumpaan ilmu, mencari rezeki yang halal serta kebaikan lain.

Apabila kita mati tiada gunanya pangkat dan darjat....kecuali ia telah digunakan ke arah kebaikan umat manusia dan tidak digunakan untuk menghalalkan kemungkaran.

Apabila kita mati tiada gunanya anak yang segak bergaya serta cantik, berpelajaran tinggi atau pun kaya...kecuali mereka adalah anak-anak yang soleh yang sering berdoa untuk kedua ibubapa yang telah pergi.  

Apabila kita mati moga-moga apa yang kita kerjakan di dunia ini diterima sebagai amal soleh di sisi Allah s.w.t.

1 comment:

  1. Semoga kita tergolong dalam kumpulan manusia yg berguna semasa hidup dan juga setelah mati!Tergolong dalam kumpulan yg dirahmati Allah...amin.

    ReplyDelete